10 October 2013

Wanita, Kalsium dan Osteoporosis.

Assalamualaikum w.b.t


Hai semua.. :) petang ni nak cerita tentang kaitan antara wanita, kalsium dan osteoporosis. Kenapa wanita perlu ambil kalsium lebih daripada lelaki? Jom kita baca.

Osteoporosis merujuk kepada kehilangan jisim tulang yang menyebabkan  tulang "menipis" atau melemahkan tulang. Ia membuatkan struktur tulang menjadi rapuh dan meningkatkan risiko patah tulang belakang, pergelangan tangan, pinggul, pelvik dan lengan. Osteoporosis berlaku dan melarat tanpa disedari kerana ia tidak mendatangkan sebarang rasa sakit dan gejala sehinggalah ada bahagian tulang yang patah.

Ia boleh berlaku di kalangan lelaki dan wanita, namun wanita lebih berisiko menghidapinya terutama ketika melewati menopaus atau disebut osteoporosis putus haid.

Wanita secara relatifnya terlindung daripada osteoporosis sebelum mereka mencecah usia menopaus, disebabkan penghasilan estrogen yang menggalakkan penghasilan tulang sihat. Bagaimanapun, selepas menopaus terdapat penurunan penghasilan estrogen yang menyebabkan berlakunya risiko osteoporosis.

Bagi wanita yang berusia 45 tahun ke atas, risiko untuk mendapat osteoporosis lebih tinggi berbanding penyakit lain termasuk kencing manis atau kanser payudara.

Lelaki mengalami osteoporosis pada usia emas berbanding wanita dan ia berkait rapat dengan pelbagai faktor antaranya bangsa, gaya hidup tidak sihat, paras testosteron yang rendah dan sejarah keluarga yang mengalami osteoporosis.

Antara faktor lain yang mendedahkan seseorang kepada osteoporosis adalah usia, rangka kecil, kurang berat badan, pernah mengalami patah tulang, sejarah keluarga yang mengalami osteoporosis, merokok, tidak aktif, kurang kalsium, kurang vitamin D, pengambilan ubat yang melemahkan tulang, penyakit sendi kronik dan pengambilan alkohol berlebihan.

Kalsium merupakan nutrien yang penting dalam memelihara tulang dan gigi. Pada masa yang sama, ia juga membantu jantung, darah dan otot berfungsi dengan baik. Tubuh badan manusia tidak menghasilkan kalsium. Maka, kalsium diperolehi melalui pemakanan seharian. Manakala vitamin D diperlukan bagi membantu tubuh badan menyerap kalsium dengan lebih baik.

Kedua-dua lelaki dan wanita memerlukan kalsium, tetapi wanita mempunyai keperluan yang lebih tinggi pada peringkat kehidupan - terutamanya selepas umur 50 tahun, atau semasa mengandung atau menyusukan anak.
  
Apabila anda mengandung, bayi anda memerlukan kalsium untuk membina tulang dan gigi yang kuat; perkembangan jantung yang sihat, saraf, dan otot serta untuk perkembangan irama jantung yang normal dan kebolehan pembekuan darah. Jika anda tidak mendapat kalsium yang cukup dalam pemakanan semasa anda hamil, bayi anda akan mendapatkannya dari tulang anda, yang mana boleh menjejaskan kesihatan anda sendiri di kemudian hari.

Kalsium tambahan juga boleh mengurangkan risiko preeclampsia, satu keadaan berbahaya yang berkaitan dengan kehamilan yang dicirikan oleh peningkatan yang pesat dalam tekanan darah. Selain itu, pengambilan kalsium yang mencukupi semasa hamil meningkatkan mineral tulang pada bayi anda.

Bagi ibu yang menyusukan anak pula, ianya adalah penting untuk memastikan bahawa ibu mendapat bekalan kalsium yang cukup semasa menyusukan anak kerana penyusuan menyebabkan kehilangan buat sementara kalsium untuk tulang. Apabila bayi telah bercerai susu, tahap kalsium akan kembali normal.

Oleh itu, tidak kira lelaki atau wanita, kita perlu memastikan kalsium dan vitamin D yang di ambil mencukupi untuk keperluan tubuh. Nutrisi dan gaya hidup juga memainkan peranan penting dalam mencegah dan merawat osteoporosis.

Salam sayang, senyum selalu :)







No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...