05 November 2013

Jaundis / Jaundice - masalah kuning pada bayi

[Artikel ini dipetik daripada Majalah IBU & ANAK : November 2013]

JAUNDIS MENGUNDANG MASALAH SERIUS

Jaundis cukup sinonim dengan bayi yang baharu lahir. Disebabkan itu, kebanyakan ibu bapa tidak terlalu risau akan masalah ini terutamanya jika jaundis bayi mereka tidak teruk. Bagaimanapun, jaundis yang dibiarkan tanpa rawatan mampu mengundang kecacatan kekal pada bayi.

Bila bayi yang lahir diberitahu ada jaundis, tidak banyak ibu bapa yang risau jika tahap kuning itu rendah. Malah, tidak kurang juga yang yakin kaedah tradisional – mendedahkan bayi pada cahaya suria pagi – sudah memadai untuk mengatasi masalah kuning yang sedikit pada bayi.

Menurut pakar perunding pediatrik, KPJ Kajang Specialist Hospital, Dr. Asmunni Yahya, jaundis bukanlah sejenis penyakit. Dalam bahasa Perancis perkataan ‘jaun’ memberikan maksud kuning, dan ‘jaundis’ atau ‘jaunisse’ bermaksud gejala kekuningan.

“Jaundis mula terhasil apabila bilirubin berlebihan di dalam darah mula mendap di dalam tisu kulit. Keadaan inilah yang mencetuskan perubahan warna kulit di mana warna kekuningan mula kelihatan,” katanya. Bilirubin ialah bahan kimia yang dihasilkan semasa penguraian normal sel darah merah.

Lampu biru atau fototerapi dapat mengurangkan tahap bilirubin

“Ada beberapa sebab yang menjadikan gejala jaundis berlaku pada bayi. Factor pertama adalah kelahiran bayi itu sendiri. Kajian mengatakan bayi yang lahir tidak cukup bulan kemungkinan 80 peratus daripada mereka akan diserang symptom jaundis. Manakala bayi yang cukup bulan dan matang, hanya 60 peratus mungkin menerima jaundis.

“Bukan itu sahaja, sel darah bayi juga turut menyumbang kepada jaundis. Secara normal, bayi yang baharu lahir mempunyai sel darah merah yang lebih tinggi berbanding orang dewasa. Selain itu, jangka hayat haemoglobin bayi adalah lebih singkat iaitu 70 hingga 90 hari, berbanding orang dewasa 120 hari.”


“Dengan struktur haemoglobin yang mudah hancur, bilangan sel darah merah yang lebih banyak dan jangka hayat yang lebih pendek, bilirubin mudah terurai. Sepatutnya bilirubin ini akan diproses di hati menjadi bilirubin konjugat yang larut air untuk dikumuhkan ke dalam najis. Namun disebabkan ia terurai dengan banyak dan hati bayi yang belum matangmembuatkan hati tidak dapat memproses kesemuanya,” jelas Dr. Asmunni.

--- BERSAMBUNG DI BAHAGIAN 2


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...